ILMU HANYA AKAN MENDATANGKAN MANFAAT APABILA DIAMALKAN
Allah سبحانه وتعالى tidak menggalakkan kepada Baginda Nabi ﷺ untuk meminta penambahan di dalam sesuatu melainkan di dalam penambahan ilmu sahaja.
Disebutkan Nabi ﷺ seringkali berdoa " Ya Allah tambahkan aku ilmu." Allah سبحانه وتعالى tidak memerintahkan Baginda Nabi ﷺ untuk meminta penambahan daripada perkara yang lainnya.
Ilmu itu adalah perkara yang dapat menyampaikan seseorang kepada darjat yang tinggi kepada darjat yang dapat menghampirkan dirinya kepada Allah سبحانه وتعالى.
Sebaliknya ilmu itu bilamana tidak mendatangkan manfaat kepada orang tersebut kerana tidak diamalkan maka ianya sama sahaja di antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu.
Sebab apa? Kerana ilmu itu hakikatnya adalah untuk diamalkan yang akan menyampaikan seseorang kepada keredhaan Allah سبحانه وتعالى. Begitu pula ianya akan menyampaikan kejayaan di sisi Allah apabila ianya diamalkan.
Akan tetapi bilamana ilmu itu hanya setakat ilmu sahaja tapi tak diamalkan maka tak ada bezanya di antara orang yang alim dengan orang yang jahil. Imam Az-Zarnuji Rahimahullahu Ta'ala ketika ditanya apakah yang dimaksudkan dengan ilmu? Beliau mengatakan "Ilmu itu adalah amalan yang mana seseorang yang mengetahui ilmu. Kemudian dia beramal maka itulah yang betul-betul dinamakan ilmu.
Akan tetapi bilamana seseorang itu hanya mengetahui ilmu tapi dirinya tidak mengamalkan ilmu maka dia hanya mengetahui gambaran ilmu sahaja. Selagi mana dia tidak mengamalkan apa yang dia ketahui maka selagi itu dia tidak akan mendatangkan manfaat daripada ilmu yang dia pelajari."
Oleh sebab itu bilamana kita mendengar sesuatu ilmu itu, mempelajari sesuatu ilmu, mendapatkan sesuatu ilmu itu. Janganlah kita biasakan diri kita mempelajari ilmu sekadar menjadi orang yang hanya mendengar sahaja tetapi kita tidak berusaha untuk cuba mengamalkannya.
Imam Malik Rahimahullahu Ta'ala mengatakan "Jangan sampai kamu mempelajari ilmu sampai kamu memudaratkan amal ibadah kamu. Tidak bangun malam bertahajjud, tidak berzikir, tidak berpuasa, tidak berjemaah dan sebagainya dikeranakan kamu sibuk mencari ilmu. Begitu juga dengan ibadah. Jangan kamu beribadah tanpa kamu beribadah didasari dengan ilmu."
Oleh kerana itu kita stabilkan diri kita mempelajari ilmu, menuntut ilmu, menghadiri majlis ilmu tetapi dalam masa yang sama kita khususkan masa kita untuk kita beramal dengan ilmu yang kita pelajari ilmu yang kita ketahui.
Sesungguhnya dengan beramal itu akan memberikan manfaat kepada urusan akhirat kita yang sebenarnya dan ilmu itu akan membantu kita untuk beramal yang akan menghidupkan hati kita yang akan membersihkan hati kita daripada sifat-sifat yang tidak baik.
No comments:
Post a Comment